NAMANYA masih baru, namun
Nor Shafiza Iskandar Azizan atau dikenali sebagai
Feeya kian menyerlah sebagai penyampai radio
ERA sedangkan bakatnya dicungkil daripada program realiti TV, Anak Wayang.
Adakah ini petanda yang
Feeya akan mengikut jejak langkah atau menggantikan tempat Nana yang bakatnya juga dicungkil daripada program realiti, Akademi Fantasia musim pertama. Nana yang pernah menjadi penyampai
ERA sebelum ditukar ke radio Xfm sebelum menamatkan itu kerjayanya beberapa minggu lalu. Bagaimanapun,
Feeya seboleh-bolehnya tidak mahu dikaitkan atau disamakan dengan sesiapa, sama ada dalam dunia lakonan atau penyampai radio.
Masih menyimpan harapan untuk dikenali sebagai pelakon, gadis ini tetap komited dalam kerjaya yang diceburinya kini dan menganggap peluang yang diberikan sebagai rezeki disamping mengangkat namanya di persada seni.
Petah berbicara ketika diajukan soalan membuktikan gadis kecil molek yang mudah tersenyum ini memang sebagai penyampai radio, malah program yang dikendalikannya turut dikatakan mendapat sambutan pendengar.
“Selepas keluar daripada program itu (Anak Wayang) saya cuba uji bakat sebagai penyampai radio dan tak sangka dapat. Mulanya sebagai sambilan sahaja tapi sekarang sudah sepenuh masa sejak Oktober tahun lalu,” katanya.
Bukan setakat boleh cakapMENGAKUI memang terlalu banyak yang perlu dipelajari untuk berjaya dalam karier serta menyimpan impian bergelar personaliti radio terkenal,
Feeya banyak menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman.
Bahkan, turut menjadikan penyampai radio seperti
Raja Azura dan Abby Fana sebagai idola dalam mempelajari cara penyampaian supaya tidak membosankan pendengar.
“Duduk dalam konti bukan bercakap saja tetapi kena tahu cara mengawal panel yang ada di depan mata. Semua kemahiran itu tidak boleh dipelajari dalam sekelip mata. Ia mengambil masa untuk menjadi lebih cekap.
“Mulanya saya digandingkan dengan penyampai senior tetapi sekarang saya kendalikan seorang diri. Pernah juga tersasul masa ke udara tetapi banyak belajar daripada senior cara penyampaian yang betul,” jelasnya.
Banyak meluangkan masa dengan membaca pelbagai bahan bacaan membantu
Feeya menyampaikan maklumat kepada pendengar agar dapat berkongsi sumber yang diperoleh untuk dibincangkan dengan pendengar.
Mengendalikan dua program serentak setiap hari,
RockPOD ERA dari jam 10 hingga 11 pagi dan
Muzik Hit Bertubi-Tubi dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari membuatkan nama
Feeya kini semakin dikenali di stesen radio popular itu. Kini beliau beralih ke segmen Muzik Hit Bertubi-Tubi dari jam 1 hingga 4 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala segmen Hello Era, setiap Ahad, 2 hingga 6 petang.
Malah, rating pendengar bagi kedua-dua program yang dikendalikannya itu juga meningkat sehingga 17,000 pendengar berbanding
1.72 juta pendengar sejak awal tahun ini.
“Dulu nak dapat pemanggil pun susah dan pernah saya ke udara selama sejam hanya empat pemanggil saja, tetapi kini tak menang tangan nak jawab panggilan. Bukan setakat bekerja saja, kita kenal tahu semua yang berlaku dalam dan luar negara kerana selain menghiburkan pendengar, menjadi tanggungjawab kita memberi maklumat kepada pendengar,” katanya.
Bidang lakonan tak dilupakanMENYEDARI bakatnya lebih menyerlah dalam penyampaian radio,
Feeya tidak mahu dirinya ditenggelami bidang terbabit sebaliknya pada masa mahu juga menyerlah dalam dunia lakonan.
Setelah sekian lama menanti, akhirnya bakat lakonannya itu diangkat dalam drama 26 episod,
Kasih Alia terbitan JS Pictures.
“Watak yang diberikan memang menarik iaitu watak jahat dan tak sangka dapat watak yang di luar karektor sebenar saya. Selain drama ini, saya turut terbabit dalam drama
Jamilah I Love U dan memegang watak sebagai DJ radio,” katanya.
Bersyukur memiliki keluarga yang memahami kehendak dan minatnya dalam bidang seni memberikan
Feeya keyakinan untuk terus bertapak dalam bidang seni walaupun tidak mempunyai darah seni dalam dirinya.
Peluang yang diberikan keluarga itu ingin terus diterokainya agar lebih dikenali pada masa depan walaupun bakatnya lebih dulu dikenali dalam bidang penyampaian.
“Keluarga sangat menyokong apa saja yang saya buat, malah lepas habis belajar saya terus sertai program Anak Wayang dan keluarga tak pernah halang,” katanya.
Mengidamkan watak seperti pesakit psikiatrik atau gila akan memberikan gambaran yang berbeza tentang perwatakannya serta mampu memberi cabaran pada dirinya.
Menganggap bidang lakonan adalah sesuatu yang mencabar dan menarik,
Feeya merasakan dirinya mampu melangkah lebih jauh dalam bidang itu seperti pelakon yang sudah menempa nama dalam dunia seni.
Ameer: Artikel ini diterbitkan dalam Berita Harian pada 1 Jun 2011. Wahh, kelas kak Feeya sekarang kan. Selalunya DJ radio ERA memang susah nak masuk paper kan kecuali Pak Nil. Ooopsss.. tahniah kak Feeya kerana berjaya mencipta nama.Untuk kenali Feeya dengan lebih lanjut klik http://feeyashafiza.blogspot.com
NAMA: Nor Shafiza Iskandar Azizan
NAMA KOMERSIAL: Feeya
TARIKH LAHIR: 5 Februari 1989
USIA: 22 tahun
ASAL: Pasir Gudang, Johor
STATUS: Bujang
KARIER: Penyampai ERA, penyanyi, pelakon dan pengacara
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Seni, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
PENGALAMAN SENI: Program Anak Wayang (Astro)PROGRAM RADIO: Muzik Hit Bertubi-Tubi ERA (1-4 Petang)PROGRAM TV: Glamor Raya dan Itu Dia (Astro)
DRAMA: Kasih Alia dan Jamilah I Love You